
KUALA LUMPUR, 3 November – Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mahu potensi tanah di negeri itu dimanfaatkan sepenuhnya menerusi pembangunan sektor pertanian secara lebih terancang, sekali gus meningkatkan pengeluaran makanan dan memperkukuh keterjaminan makanan negara.
- Kenal pasti kaedah penyelesaian isu pemilikan bagi membolehkan tanah terbiar diusahakan secara optimum.
- MoU antara PKPP dan PKPS gabungkan kekuatan komuniti, teknologi, logistik dan akses pasaran untuk perkasa sektor pertanian.
- Inisiatif termasuk Jelapang Padi, hab jagung, fertigasi komuniti untuk asnaf B40 dan belia serta agropelancongan dan agroedukasi.
Baginda bertitah, tumpuan perlu diberikan kepada kawasan tanah terbiar yang berpotensi untuk dibangunkan, namun masih belum dimajukan berikutan kekangan berkaitan pemilikan tanah.
Justeru, Baginda mahu kaedah penyelesaian bersesuaian dikenal pasti bagi membolehkan tanah berkenaan diusahakan secara optimum.
“Apabila Beta melawat daerah di Pahang, Beta sentiasa bertanya mengenai jumlah kawasan, khususnya tanah yang masih terbiar di negeri ini.
“Beta akan cuba mencari kaedah yang dapat membantu membangunkan tanah terbiar ini. Itu menjadi tekad Beta supaya setiap inci tanah di negeri ini dapat dimajukan sepenuhnya,” titah Baginda.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan menyempurnakan Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di sini.
Kerjasama strategik yang mengambil masa hampir setahun untuk direalisasikan itu bertujuan menggabungkan kekuatan kedua-dua negeri bagi memperkasa sektor pertanian dan agromakanan, selain meningkatkan keterjaminan makanan negara.
Al-Sultan Abdullah menyifatkan kelebihan Pahang dari segi keluasan tanah pertanian serta pengalaman PKPP dalam pengurusan komuniti, digabungkan dengan kepakaran teknologi, logistik dan akses pasaran PKPS, berpotensi membuka ruang lebih luas kepada pembangunan sektor berkenaan.
“Beta begitu teruja dengan perjanjian ini kerana ia merupakan satu milestone yang cukup besar bagi negeri Pahang.
“Beta berharap usahasama ini bukan sekadar satu jalinan kerjasama biasa tetapi merupakan kerjasama antara sebuah negeri yang besar dengan sebuah negeri yang terkaya.
“Gabungan kekuatan kedua-dua negeri ini diharap dapat merealisasikan segala perancangan yang mampu membawa kesejahteraan kepada rakyat Pahang dan Selangor, insya-Allah,” titah Baginda.
Antara inisiatif utama yang digariskan menerusi kerjasama itu termasuk pembangunan Jelapang Padi Darul Makmur, hab jagung bijian serta program pertanian komuniti secara fertigasi untuk golongan asnaf, B40 dan belia.
Kerjasama itu turut merangkumi usaha memperkasa sektor agropelancongan dan agroedukasi di Pahang.
Baginda berharap segala perancangan, termasuk dalam aspek pengeluaran makanan dan penternakan, dapat dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh menerusi perkongsian kepakaran serta pengalaman kedua-dua agensi.
Majlis itu turut diserikan dengan keberangkatan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Hadir sama, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.