
KUALA PILAH, 3 November – Lebih ramai generasi berilmu dan berkemahiran berpotensi dilahirkan di Negeri Sembilan, khususnya di daerah Kuala Pilah, sekali gus menjadi penyumbang kepada pembangunan negeri.
- Kecemerlangan harus holistik: bukan hanya akademik tetapi juga sukan, kokurikulum, penguasaan teknologi dan pembentukan sahsiah.
- Pendidik bertanggungjawab mengenal pasti potensi murid dan membimbing perkembangan mengikut keupayaan masing-masing.
- Perkukuhkan kepimpinan pendidikan, komitmen guru serta kerjasama masyarakat untuk melahirkan generasi beradab, berdikari dan bertanggungjawab.
Sehubungan itu, Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berkata, kecemerlangan generasi muda tidak seharusnya diukur berdasarkan pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya turut merangkumi kecemerlangan dalam sukan, kokurikulum, penguasaan teknologi serta pembentukan sahsiah.
“Sebagai Menteri Besar, saya mahu melihat lebih ramai anak-anak Kuala Pilah cemerlang dalam akademik, sukan dan kokurikulum, menguasai teknologi serta yakin untuk bersaing pada peringkat lebih tinggi,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Pilah Tahun 2025 di Dewan Seminar Pendeta Za’ba, di sini.
Tambah Datuk Ismail, golongan pendidik memainkan peranan penting dalam mengenal pasti potensi setiap murid, sekali gus membantu mereka berkembang mengikut keupayaan masing-masing.
Katanya, kepimpinan pendidikan yang berkesan, komitmen guru serta kerjasama masyarakat perlu terus diperkukuh bagi memastikan usaha melahirkan generasi yang mempunyai adab, disiplin dan rasa tanggungjawab dapat direalisasikan.