Ancaman AMR: Malaysia berdepan risiko 87,000 kematian tambahan menjelang 2030

Majlis Perasmian Sambutan Minggu Kesedaran Kerintangan Antimikrob Sedunia (WAAW) 2026 Peringkat Kebangsaan/Foto KKM

PUTRAJAYA, 3 November – Malaysia berdepan risiko hampir 87,000 kematian tambahan serta kerugian ekonomi mencecah AS$2.5 bilion menjelang tahun 2030 sekiranya ancaman kerintangan antimikrob (AMR) tidak dibendung dari sekarang.

RINGKASAN BERITA AI
  • AMR ancaman besar memerlukan tindakan segera kerana kuman menjadi kebal terhadap ubat, meningkatkan risiko komplikasi maut.
  • Ancaman boleh berpunca daripada haiwan ternakan yang mencemari sumber air dan rantaian makanan manusia.
  • Tema WAAW 2026 "One Health, one action: Prevent AMR now" menyeru tindakan bersama seluruh lapisan masyarakat.
  • KKM bekerjasama merentasi sektor dan melibatkan mahasiswa melalui MyOHUN dan UGAS untuk meningkatkan kesedaran serta amalan stewardship antimikrob.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, unjuran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) itu menunjukkan ancaman kuman kebal ubat berkenaan tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh mendatangkan risiko komplikasi maut.

Menurut beliau, AMR berlaku apabila kuman seperti bakteria atau kulat tidak lagi bertindak balas terhadap ubat yang sepatutnya merawat jangkitan, terutamanya antibiotik.

“Ingin saya tegaskan bahawa yang membina daya tahan dan menjadi kebal kepada ubat adalah kuman tersebut, bukannya tubuh badan manusia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian Sambutan Minggu Kesedaran Kerintangan Antimikrob Sedunia (WAAW) 2026 Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Sambutan tahun ini membawa tema “One Health, one action: Prevent AMR now” sebagai peringatan isu berkenaan memerlukan tindakan bersama daripada segenap lapisan masyarakat.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan kuman kebal boleh berpunca daripada haiwan ternakan mencemari sumber air, seterusnya memasuki rantaian makanan manusia.

Bagi menangani isu itu, Kementerian Kesihatan (KKM) bekerjasama merentasi sektor termasuk menggembleng penglibatan mahasiswa dan anak muda melalui organisasi Malaysia seperti One Health University Network (MyOHUN) serta United for Global Antimicrobial Stewardship (UGAS) untuk membawa kesedaran ke peringkat kampus dan komuniti.

“Keberkesanan ubat antimikrob adalah khazanah perubatan yang perlu kita pelihara bersama demi menyelamatkan nyawa generasi hari ini dan akan datang,” tegasnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.