Bangladesh diminta pertimbang kurangkan kos pengambilan pekerja

Foto Pejabat Perdana Menteri

PUTRAJAYA, 9 April – Kerajaan Bangladesh diminta mempertimbang langkah pengurangan kos bagi pengambilan pekerja dari negara itu ke Malaysia demi kesejahteraan pekerja.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertemuan rasmi antara Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan Menteri Buruh Bangladesh Ariful Haque dan Penasihat Dr Mahdi Amin Choudhury di Perdana Putra.
  • Malaysia komited melindungi kebajikan ratusan ribu pekerja Bangladesh terutama dalam sektor pembinaan dan pembuatan.
  • Anwar mengucapkan tahniah kepada Tarique Rahman atas pelantikan dan menjemput beliau berkunjung bagi memperkukuh hubungan dua hala.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dinyatakan beliau ketika menerima kunjungan hormat Menteri Buruh dan Pekerjaan Bangladesh, Ariful Haque Choudhury bersama-sama Penasihat kepada Perdana Menteri Bangladesh, Dr Mahdi Amin di Perdana Putra di sini, hari ini.

“Saya tegaskan keperluan untuk mengurangkan kos pengambilan pekerja asing serta meminta Kerajaan Bangladesh mempertimbang langkah mengurangkan kos ini demi kesejahteraan pekerja,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Dalam pertemuan bagi membincangkan kerjasama dua hala serta isu berkepentingan bersama itu, Perdana Menteri berkata Malaysia komited untuk terus melindungi kebajikan ratusan ribu pekerja Bangladesh di negara ini, khususnya dalam sektor pembinaan dan pembuatan.

Datuk Seri Anwar turut mengulangi ucapan tahniah kepada Tarique Rahman yang dilantik sebagai Perdana Menteri Bangladesh pada 17 Februari lepas.

“Saya sekali lagi mengulangi jemputan agar beliau berkunjung ke Malaysia dalam masa terdekat bagi memperkukuh hubungan dua hala yang sedia erat,” katanya.

Perdana Menteri juga berharap agar persahabatan Malaysia-Bangladesh akan terus diperkukuh berteraskan saling percaya dan manfaat bersama.