
PUTRAJAYA, 9 April –Kira-kira 5,000 jemaah menghadiri Program Solat Hajat dan Forum Perdana Ehwal Islam yang berlangsung di Masjid Putra, di sini.
- Program menghimpunkan masyarakat berdoa demi kesejahteraan negara dan keamanan dunia susulan krisis tenaga global akibat konflik Asia Barat.
- Forum Perdana bertajuk 'Satu Saf: Mendepani Cabaran Global' memberi pencerahan mengenai krisis tenaga global dan impaknya kepada negara.
- Penceramah pakar dan tokoh akademik menyeru rakyat berhemat dalam perbelanjaan serta bersedia menghadapi cabaran ekonomi semasa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, program itu menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat bersama-sama memohon kesejahteraan negara serta keamanan dunia dalam menghadapi cabaran semasa akibat krisis tenaga global susulan konflik Asia Barat.
Majlis anjuran Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu turut menampilkan Forum Perdana Hal Ehwal Islam bertajuk “Satu Saf: Mendepani Cabaran Global” bagi memberi pencerahan kepada masyarakat mengenai krisis tenaga global serta impaknya kepada negara.
Perbincangan itu menampilkan Presiden dan Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL) Prof Emeritus Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman serta Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, manakala penceramah Mohd Hariri Daud bertindak sebagai moderator.
“Forum ini turut bertujuan menyampaikan mesej kepada rakyat agar lebih berhemat dalam perbelanjaan serta bersedia menghadapi cabaran ekonomi semasa,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat maghrib, bacaan Yasin dan solat hajat secara berjemaah sempena Program Solat Hajat dan Forum Perdana Hal Ehwal Islam di sini.