Bakal jemaah haji digalak lakukan persediaan awal sebelum jadi tetamu Allah – TH

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 6 Julai – Semua bakal jemaah bagi musim haji 1448H/2027M dan 1449H/2028M diingatkan agar meningkatkan persediaan dari segi kesihatan, kewangan, mengemaskini maklumat dan menguasai ilmu fardhu ain serta ibadah haji supaya impian menjadi tetamu Allah akan tercapai.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jalani pemeriksaan kesihatan lebih awal dan tingkatkan kecergasan fizikal serta mental untuk menghadapi ibadah haji yang mencabar.
  • Tingkatkan simpanan TH secara berkala, sekurang-kurangnya RM15,000 sebagai penanda aras kelayakan menerima surat tawaran.
  • Kemas kini maklumat melalui aplikasi THiJARI atau cawangan TH dan ikuti saluran rasmi untuk maklumat haji terkini.

Lembaga Tabung Haji (TH) dalam satu kenyataan memaklumkan peringatan itu adalah langkah proaktif TH bagi membantu persediaan bakal jemaah memenuhi syarat kemampuan (istito’ah).

“Persediaan rapi harus disiap siagakan awal bagi melayakkan bakal jemaah menerima surat tawaran haji apabila tiba giliran kelak,” katanya.

Bakal jemaah digalakkan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan kendiri lebih awal, meningkatkan kecergasan fizikal dan mental kerana pelaksanaan ibadah haji menuntut ketahanan fizikal yang tinggi dalam persekitaran yang ramai dan mencabar serta pendedahan kepada cuaca yang berdebu dan panas.

Manakala Kursus Asas Haji bagi mendalami ilmu pengetahuan ibadat haji akan bermula pada 25 September 2026.

Di samping itu, simpanan di TH juga perlu ditingkatkan secara berkala dan konsisten sekurang-kurangnya RM15 ribu diperlukan sebagai penanda aras minimum kelayakan menerima surat tawaran.

“Meskipun kos haji bagi musim 1448H/2027M masih belum ditentukan, kos haji bagi musim 1447H/2026M RM33,300 seorang boleh dijadikan sebagai rujukan awal untuk perancangan simpanan selanjutnya,” jelas beliau.

Bakal jemaah turut diingatkan agar menyemak dan mengemaskini rekod di aplikasi THiJARI atau di cawangan TH terdekat supaya mudah dihubungi serta mengikuti saluran media sosial dan laman web rasmi TH bagi mendapatkan informasi terkini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.