
KUALA LUMPUR, 6 Julai – Simpanan persaraan rakyat terus diperkukuh menerusi pelbagai inisiatif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membantu ahli membina simpanan mencukupi, selaras peningkatan kos sara hidup serta peralihan Malaysia ke arah negara menua menjelang tahun 2048.
- KWSP menyusun semula akaun kepada tiga: Akaun Persaraan (75%), Akaun Sejahtera (15%) dan Akaun Fleksibel (10%).
- Liputan caruman diperluas melalui i-Saraan; i-Saraan Plus tawar insentif kepada pekerja e-hailing hingga RM600 setahun, maksimum RM6,000 seumur hidup.
- Program i-Suri dan i-Sayang diperkasa untuk membantu golongan rentan termasuk wanita dan suri rumah membina simpanan persaraan.
- Pelbagai saluran caruman sukarela seperti i-Topup dan i-Simpan disediakan; caruman sukarela dibenarkan sehingga RM100,000 setahun.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata pihaknya komited melaksanakan langkah proaktif, strategik dan berterusan bagi menangani cabaran kecukupan simpanan persaraan dalam kalangan ahli.
Antara inisiatif utama ialah penstrukturan semula akaun KWSP daripada dua kepada tiga akaun bagi mengimbangi keperluan simpanan jangka panjang dengan keperluan jangka pendek dan sederhana melalui Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera serta Akaun Fleksibel.
“Pelbagai langkah dan inisiatif telah, sedang dan akan dijalankan KWSP bagi membantu ahli mempunyai simpanan mencukupi untuk persaraan mereka.
Jelas beliau, Akaun Persaraan iaitu akaun khusus untuk simpanan hari tua iaitu agihan caruman telah ditingkatkan daripada 70 kepada 75 peratus.
“Akaun Sejahtera bagi tujuan untuk pengeluaran bersyarat seperti perumahan, pendidikan, kesihatan dan tujuan lain dibenarkan dengan agihan caruman sebanyak 15 peratus.
Akaun Fleksibel untuk keperluan jangka pendek dan kecemasan, dengan agihan caruman 10 peratus,” katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Aminuddin Harun di Dewan Rakyat.
Selain itu beliau menambah, liputan caruman KWSP terus diperluas menerusi program i-Saraan bagi golongan bekerja sendiri, pekerja sektor tidak formal dan ekonomi gig.
“Mulai tahun ini, program i-Saraan Plus turut diperkenalkan khusus kepada pekerja e-hailing dan p-hailing berasaskan platform dengan menawarkan insentif tahunan hingga RM600 atau maksimum RM6,000 sepanjang hayat, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan,” ujarnya.
Dalam masa sama, program i-Suri dan i-Sayang terus diperkasa bagi membantu golongan rentan, termasuk wanita dan suri rumah, membina simpanan persaraan meskipun tidak mempunyai pendapatan tetap.
KWSP turut menyediakan pelbagai saluran caruman sukarela seperti i-Topup dan i-Simpan bagi membolehkan ahli meningkatkan simpanan persaraan mengikut kemampuan masing-masing, termasuk sehingga had RM100,000 setahun bagi Caruman Sukarela.