fb fb fb fb fb

Azam Baki dilantik semula Ketua Pesuruhjaya SPRM

Azam Baki

KUALA LUMPUR, 10 Mei- Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dilantik semula ke jawatan tersebut untuk tempoh setahun lagi.

Sehubungan itu, Azam menyatakan penghargaan dan menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas perkenan baginda melantik beliau semula ke jawatan itu berkuat kuasa Ahad ini.

"Saya akan terus memastikan amanah ini dilaksanakan sepenuhnya dan menjalankan tanggungjawab tersebut dengan penuh integriti.

"SPRM juga berharap agar seluruh rakyat Malaysia serta jentera kerajaan, tanpa kompromi dapat berganding bahu bersama SPRM bagi memerangi jenayah rasuah di negara ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ini adalah kali kedua perkhidmatan Azam disambung untuk menerajui SPRM selepas kali pertama dilantik semula ke jawatan berkenaan pada 12 Mei tahun lalu.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali memaklumkan pelantikan semula itu adalah untuk tempoh satu tahun berkuat kuasa 12 Mei 2024 selaras dengan Subseksyen 5(1) dan (2) Akta SPRM 2009 (Akta 694).

Dalam masa sama, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Azam.

Pelantikan semula itu adalah bukti Azam telah menjalankan tugas dengan cemerlang sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, sekali gus mendapat kepercayaan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong untuk meneruskan perkhidmatan.

"Perkhidmatannya beliau amat diperlukan bagi melaksanakan pelbagai usaha dan inisiatif pencegahan menerusi Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 yang baru dilancarkan.

"(Ia) terutamanya berkenaan penambahbaikan pengurusan tatakelola nasional yang pasti akan dapat membantu meningkatkan daya saing negara sekali gus mengurangkan risiko berlakunya gejala rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan.

"Salam perjuangan dan sokongan jitu yang tidak berbelah bahagi daripada seluruh warga Malaysia yang cintakan integriti dan mahukan Malaysia dibersihkan dari najis rasuah," katanya.

SITI AISHAH MD ISA