
KUANTAN, 13 Julai – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu memperkukuh tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi landskap keselamatan yang semakin kompleks dan sukar dijangka.
- Kerjasama erat antara Darat, Laut dan Udara diterapkan dalam konsep Angkatan Masa Hadapan untuk pelaksanaan operasi dan penyelarasan bersepadu.
- Ancaman masa kini meliputi serangan siber, manipulasi maklumat, peperangan hibrid, gangguan rantaian bekalan, bencana alam dan persaingan kuasa besar.
- Kekuatan masa depan bergantung bukan hanya pada aset dan teknologi, tetapi juga peningkatan ilmu, kemahiran dan kebolehan menyesuaikan diri anggota.
Sehubungan itu, konsep Angkatan Masa Hadapan ATM dibangunkan menerusi kerjasama erat antara tiga cabang perkhidmatan utama iaitu Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi memastikan negara bersedia menghadapi pelbagai bentuk ancaman keselamatan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pendekatan bersepadu itu penting kerana setiap cabang perkhidmatan tidak lagi boleh bergerak secara bersendirian, sebaliknya perlu mengutamakan penyelarasan dan kekuatan bersama.
Katanya, ancaman keselamatan masa kini bukan lagi hanya tertumpu kepada peperangan konvensional, malah turut melibatkan bentuk ancaman baharu seperti serangan siber, manipulasi maklumat, peperangan hibrid, gangguan rantaian bekalan, bencana alam serta persaingan kuasa besar dunia.
“Dalam kita menangani segala cabaran yang ada, setiap perkhidmatan tidak lagi dilihat bergerak secara bersendirian.
“Apa juga perancangan kita mesti berasaskan kepada kesepaduan antara ketiga-tiga perkhidmatan, darat, laut dan udara supaya kita mempunyai kekuatan dalam melaksanakan tanggungjawab serta menghadapi apa sahaja cabaran,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Jelajah Wira Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) 2026 edisi Pantai Timur di Pangkalan TUDM Kuantan, Pahang, yang turut dihadiri Pengerusi LTAT, Jeneral (B) Tan Sri Datuk Seri Azizan Ariffin.
Datuk Seri Mohamed Khaled juga berkata, kekuatan Angkatan Masa Hadapan ATM bukan hanya bergantung pada aset dan teknologi moden, sebaliknya turut bergantung pada keupayaan anggota ATM meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran serta kebolehan menyesuaikan diri dengan keperluan pertahanan semasa.