KUALA LUMPUR, 24 Oktober- ASEAN terus memperkukuh kerjasama serantau dalam memperkasa Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) ke arah pembangunan ekonomi yang inklusif dan mampan di Asia Tenggara.
Langkah ini direalisasikan menerusi pelancaran Pusat Kecemerlangan PMKS bagi Peralihan Hijau di ASEAN (MEGA).
Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Muhamad Hassan, ia berperanan sebagai platform serantau untuk membantu PMKS beralih kepada model perniagaan hijau dan mampan.
Tambah beliau, MEGA merupakan antara inisiatif yang bakal menjadi legasi Malaysia sempena Kepengerusian ASEAN 2025.
"Di seluruh rantau ini, Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) merupakan tulang belakang ekonomi kita. Mereka menggaji sebahagian besar tenaga kerja dan menjadi pemacu inovasi di peringkat tempatan.
Menerusi MEGA, PMKS akan mendapat akses kepada hab pendidikan dan latihan yang akan membantu mereka dalam peralihan kepada model perniagaan hijau dan mampan.
Dengan membolehkan semua perniagaan mengambil bahagian dalam peralihan hijau, kita bukan sahaja melindungi sumber pendapatan rakyat, tetapi juga mempersiapkan ekonomi ASEAN menghadapi realiti masa depan rendah karbon.
"
Mengulas lanjut, MEGA sekaligus akan memperkukuh keupayaan perniagaan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan ekonomi global serta memenuhi tuntutan masa depan rendah karbon.
Beliau berucap pada majlis perasmian Inisiatif ASEAN Mengenai Keterangkuman dan Kemampanan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.