fb fb fb fb fb

APT-MM 2025: Malaysia perkukuh komitmen digital serantau

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil pada Asia-Pacific Telecommunity Ministerial Meeting (APT-MM) 2025 di Tokyo/Foto BERNAMA

TOKYO, 30 Mei - Malaysia menyatakan sokongan penuh terhadap "Tokyo Statement 2025" yang akan dilancarkan sempena Mesyuarat Menteri Asia-Pacific Telecommunity (APT-MM) 2025 yang berlangsung selama dua hari hingga esok.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata komitmen tersebut selari dengan dasar Kerajaan MADANI yang menekankan pembangunan infrastruktur digital yang berdaya tahan, inklusif dan mampan di rantau Asia Pasifik.

Beliau berkata, dasar itu turut memanfaatkan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI).

“Melalui inisiatif seperti JENDELA, negara berjaya memperluas capaian internet berkelajuan tinggi ke lebih 9.03 juta premis, selain meningkatkan liputan 5G ke lebih 82 peratus kawasan berpenduduk.

“Perkembangan ini menyumbang kepada kemajuan keterangkuman digital negara, dengan kelajuan jalur lebar mudah alih mencecah purata 105.36 Mbps dan kadar liputan internet mencapai 98.66 peratus setakat suku keempat 2024,” katanya.

Mesyuarat berkenaan turut menyaksikan pelancaran ‘Tokyo Statement 2025’ yang memberi fokus kepada enam keutamaan utama.

Ia merangkumi keterhubungan digital; inovasi dan keusahawanan digital; kepercayaan serta keselamatan siber; keterangkuman digital dan pembangunan kapasiti; kelestarian alam sekitar; selain kerjasama serantau dan antarabangsa.

Fahmi berkata, kadar penembusan mudah alih negara kini mencecah 61 peratus, selari dengan pelaksanaan rangkaian 5G yang membuka lebih banyak peluang dalam sektor pendidikan dan pelbagai industri.

Malaysia, katanya, turut menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan negara-negara anggota APT lain dalam berkongsi inovasi dan membina masa depan digital yang inklusif serta mampan di rantau ini.

GRACE AISYAH KEDAYAN