fb fb fb fb fb

APM siap sedia hadapi Monsun Timur Laut 2025/2026, aset diperkemas

Foto fail BERNAMA

KEPALA BATAS, 20 November - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut susulan ramalan hujan lebat dan risiko banjir di beberapa kawasan di negeri Pulau Pinang sehingga Mac tahun depan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM, Ghazali Abd Rahman, memaklumkan bahawa lebih 15,000 anggota serta lebih 1,900 aset darat, air dan udara, termasuk dron, kini berada pada tahap kesiapsiagaan penuh bagi menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang tempoh tersebut.

Jelasnya, persediaan itu turut merangkumi latihan berkala, pemeriksaan aset, serta penyelarasan pusat kawalan operasi bencana di seluruh negara.

Tumpuan diberikan kepada kawasan 'hotspot' yang direkodkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), selain pemantauan berterusan terhadap amaran cuaca daripada MetMalaysia.

"Bermula November hingga Mac 2026, APM di seluruh negara telah membuat persiapan awal menghadapi Monsun Timur Laut 2025/2026. Latihan melibatkan semua pegawai dan anggota telah dijalankan, selain penyediaan serta penyelenggaraan aset darat dan air bagi memastikan semuanya berada dalam keadaan optimum untuk operasi menyelamat.

"Bagi Pulau Pinang, sebanyak 53 'hotspot' banjir dikenal pasti, manakala senarai rasmi di peringkat nasional dirujuk melalui laman web JPS,” katanya.

APM turut menegaskan pusat kawalan operasi di setiap negeri sudah beroperasi 24 jam, dengan rondaan di kawasan berisiko digerakkan sebaik sahaja amaran cuaca dikeluarkan MetMalaysia.

Orang ramai disaran sentiasa peka dengan situasi cuaca, mengutamakan keselamatan dan tidak mengambil mudah risiko banjir kilat, termasuk di kawasan yang jarang terjejas sebelum ini.

EZA YUSMAWATI YAACOP