APM Kelantan perkukuh persediaan hadapi Monsun Timur Laut

KOTA BHARU, 20 Oktober – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan giat memperkukuh persediaan terutama dari segi latihan dan logistik bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula bulan depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • APM Kelantan meningkatkan latihan di lapangan terutama di kawasan berisiko banjir untuk kesiapsiagaan anggota.
  • Penekanan pada kemahiran menyelamat di air, pengendalian bot dan pengurusan peralatan logistik.
  • Simulasi melibatkan penyelamatan mangsa lemas dan pengendalian bot semasa arus deras dijalankan.
  • Koordinasi latihan dengan JBPM, PDRM dan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk respon bersepadu.

Pemangku Pengarah APM Kelantan Lt Kol (PA) Mohd Farid Ishak berkata pelbagai inisiatif telah dirangka termasuk latihan di lapangan khasnya di kawasan berisiko banjir bagi memastikan anggota berada pada tahap kesiapsiagaan optimum. 

Beliau berkata sebagai agensi barisan hadapan dalam operasi bencana khususnya banjir, semua anggota perlu mahir dalam aspek menyelamat di air, penggunaan bot, peralatan logistik serta komunikasi kecemasan.

“Latihan air yang dijalankan turut merangkumi simulasi menyelamat mangsa lemas, pengendalian bot ketika arus deras serta koordinasi bersama agensi lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Pendekatan latihan berperingkat ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan kecekapan anggota malah memberi keyakinan kepada masyarakat bahawa APM sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.- BERNAMA