Robot humanoid China kuasai pasaran global

Foto REUTERS

BEIJING, 12 Ogos – Pembuat robot manusia (humanoid) dari China terus mengukuhkan penguasaan global apabila memegang lebih 97 peratus daripada jumlah penghantaran di seluruh dunia bagi separuh pertama tahun 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penghantaran robot humanoid global kira-kira 19,100 unit dalam separuh pertama 2026, hampir tiga kali ganda berbanding tahun lalu.
  • Unjuran naik kepada 60,000 unit hujung tahun dan mencapai 500,000 unit menjelang 2030 menurut firma penyelidikan SAG.
  • AgiBot mengatasi Unitree, menjadi pembekal humanoid terbesar dengan penghantaran kira-kira 8,400 unit berbanding 5,900 Unitree.
  • Pesaing antarabangsa seperti Tesla dan Figure AI tertinggal jauh; perkembangan sahkan kelebihan awal China dalam AI fizikal komersial.

Firma penyelidikan pasaran Smart Analytics Global (SAG) yang berpangkalan di California menyatakan jumlah penghantaran robot humanoid secara global mencatatkan kira-kira 19,100 unit dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pencapaian itu meningkat hampir tiga kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Angka tersebut diunjurkan melonjak kepada 60,000 unit hujung tahun ini sebelum mencecah 500,000 unit menjelang tahun 2030,”katanya.

Syarikat robotik China, AgiBot memintas posisi Unitree Robotics buat kali pertama untuk menjadi pembekal robot humanoid terbesar di dunia.

AgiBot menghantar kira-kira 8,400 unit sekali gus menguasai 44 peratus pasaran global, manakala Unitree mencatatkan penghantaran kira-kira 5,900 unit dengan pegangan 31 peratus pasaran.

Jurang penghantaran ini meninggalkan pesaing luar negara seperti Tesla dan Figure AI jauh di belakang.

Perkembangan ini membuktikan kelebihan awal China dalam mentransformasikan kemajuan kecerdasan buatan (AI) fizikal kepada penghasilan robot secara komersial dan berperingkat.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.