fb fb fb fb fb

Anwar, PM Pakistan berbalas ucapan selamat menyambut Aidiladha

FOTO FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 17 Jun- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Pakistan iaitu Shehbaz Sharif hari ini berbalas ucapan selamat menyambut Aidiladha, selain mendoakan kesejahteraan bersama dan keluarga serta rakyat kedua-dua negara.

Anwar berkata, Malaysia dan Pakistan juga sepakat untuk terus menyatakan solidariti kepada penduduk Gaza yang terkesan dengan tindakan tidak berperikemanusiaan rejim Zionis Israel.

Komitmen itu dinyatakan semasa beliau menerima panggilan telefon daripada Shehbaz Sharif petang tadi.

"Saya turut memuji Perdana Menteri Shehbaz atas keberanian beliau memposisikan kedudukan Pakistan terkait kemelut di Gaza.

"Seharusnya pemimpin Islam negara lain perlu terus mengukuhkan sokongan dalam meningkatkan bantuan kemanusiaan selain menggandakan usaha menamatkan penjajahan dan pendudukan Israel di bumi Gaza," kata Anwar menerusi Facebook beliau.

Anwar memaklumkan mereka juga merancang untuk bertemu di Islamabad, Pakistan dalam masa terdekat agar hubungan kedua-dua negara dapat terus diperkukuh.

SITI AISHAH MD ISA