BAYAN BARU, 6 Disember-Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan kelulusan peruntukan RM250,000 bagi memperkukuh latihan keusahawanan anak-anak muda India Muslim, termasuk bidang digital.
Perdana Menteri berkata langkah tersebut bertujuan memberi peluang kepada golongan muda untuk meneroka bidang-bidang penting dalam era teknologi tinggi, sekali gus mengelak mereka daripada ketinggalan dalam arus kemajuan global.
"Saya telah memberi arahan kepada semua Kementerian, jabatan termasuk Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerina Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk tetap menyantuni semua rakyat termasuk saudara-saudara yang di golong dalam Liga Muslim atau pun India Muslim bumiputera di Malaysia ini", katanya di sini.
Sementara itu, Anwar turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan mengkaji dan memperhalusi permohonan status Bumiputera bagi golongan India Muslim.
Tambahnya, proses tersebut akan dilakukan berdasarkan undang-undang sedia ada dan dilaksanakan dengan teliti.
“Proses ini berdasarkan individu, jadi ia tidak mempunyai kerangka masa tertentu. Itu tugas Datuk Seri Saifuddin, kementeriannya yang uruskan.
“Malah setiap permohonan perlu diproses secara individu bukan secara kumpulan atau persatuan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Terdahulu, Anwar menyempurnakan Majlis Makan Malam Sempena Sambutan Ulang Tahun ke-70 Persatuan Liga Muslim Pulau Pinang.
Hadir sama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid dan Presiden Liga Muslim Pulau Pinang Datuk Seri Najimudeen Kader.