fb fb fb fb fb

Anwar kemuka dokumen FSRA, desak Muhyiddin mohon maaf

KUALA LUMPUR, 20 Julai - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendedahkan sebahagian dokumen perjanjian Assignment for Financial Service Reserve Account (FSRA) terkait Jaminan Kerajaan kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang telah ditandatanganinya.

Anwar mengemukakan sebanyak lapan dokumen berkait perjanjian FSRA melalui hantaran di Facebooknya pada pagi ini.

Oleh itu, beliau mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memohon maaf atas fitnah yang dilemparkan kepadanya.

Semalam, Anwar berkata bersedia membuktikan bahawa beliau telah menandatangani dokumen pelupusan hutang Felda.

Katanya, beliau akan meminta Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) untuk mengeluarkan dokumen yang ditandatanganinya sebelum berangkat ke Vietnam pada hari ini.

Sementara itu, Kementerian Kewangan (MOF) mengesahkan bahawa Anwar telah menandatangani FSRA pada 26 Jun 2023.

"Seperti diumumkan melalui siaran akhbar MOF bertarikh 28 Jun 2023, perjanjian ini melibatkan Jaminan Kerajaan sebanyak RM9.9 bilion kepada FELDA untuk menstruktur semula pinjaman agensi tersebut melalui terbitan sukuk dan kredit pusingan dalam usaha memulihkan kedudukan kewangan FELDA.

"Di bawah perjanjian, Kerajaan akan membiayai pembayaran balik sukuk tersebut melalui peruntukan geran RM990 juta setiap tahun untuk tempoh 10 tahun," menurut kenyataan MOF pada hari ini.

Selain itu, MOF mengesahkan bahawa penyaluran pertama RM990 juta juga telah dilaksanakan pada 18 Julai lalu selaras dengan peruntukan yang telah disediakan di dalam Belanjawan Madani 2023.

Katanya lagi, penyempurnaan perjanjian jaminan kerajaan dan penyaluran peruntukan kepada FELDA merupakan elemen penting yang dilaksanakan Kerajaan Perpaduan bagi memastikan kelangsungan FELDA antara lain mengambil kira antaranya impak kepada aliran tunai dan kedudukan kewangan FELDA berikutan penghapusan hutang peneroka FELDA.

ARTIKEL BERKAITAN:
Hapus hutang peneroka Felda: PM kemuka bukti esok
PM nafi kenyataan Muhyiddin hapus hutang FELDA
Lupus hutang FELDA, Shabery nafi kenyataan Muhyiddin

Media Baharu