KUALA LUMPUR, 20 November - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal berkongsi pengalaman dan perspektif ASEAN pada Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) di Afrika Selatan, yang bermula Sabtu ini.
Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, Datuk Seri Anwar yang diundang menghadiri sidang kemuncak itu atas kapasiti Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 akan memanfaatkan platform tersebut untuk menyumbang secara konstruktif kepada perbincangan mengenai isu ekonomi dan alam sekitar global baru muncul, khususnya yang berkepentingan kepada negara-negara Selatan Global.
"Datuk Seri Anwar akan menyampaikan kenyataan negara bertajuk 'Inclusive and Sustainable Economic Growth Leaving No One Behind: Building Our Economies; the Role of Trade; Financing for Development; and the Debt Burden' serta 'A Resilient World - the G20’s Contribution: Disaster Risk Reduction; Climate Change; Just Energy Transitions; Food Systems'," jelas kenyataan itu.
Datuk Seri Anwar juga bakal mengadakan mesyuarat dua hala dengan Presiden Ramaphosa, sebagai susulan pertemuan yang berlangsung semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Kuala Lumpur, bulan lalu.
Menurut Wisma Putra, antara yang dijangka menjadi tumpuan perbincangan ialah kerjasama utama seperti perdagangan dan pelaburan, minyak sawit, industri halal, serta pembangunan kapasiti, di samping meneroka peluang baharu untuk mempertingkat hubungan dua hala.
Selain itu, Perdana Menteri dijadual menerima kunjungan hormat Naib Presiden Botswana, Ndaba Nkosinathi Gaolathe bagi membincangkan perkara-perkara berkepentingan bersama yang bertujuan mengukuhkan hubungan dua hala.
"Perdana Menteri juga bakal mengadakan mesyuarat dengan rakan sejawatan dari negara-negara anggota dan jemputan G20 di sela-sela sidang berkenaan.
"Selain itu, Datuk Seri Anwar akan bertemu pemimpin komuniti muslim Afrika Selatan dan pemain industri utama tempatan dalam forum perniagaan serta bertemu diaspora Malaysia," tambah kenyataan sama.
Menurut Wisma Putra, jemputan rasmi Afrika Selatan mencerminkan komitmennya mengukuhkan hubungan dengan Malaysia, selain memberikan ruang kepada Kuala Lumpur menonjolkan pencapaian sebagai Pengerusi ASEAN 2025 di pentas global.
Perdana Menteri mengetuai delegasi Malaysia dalam lawatan kerja yang berlangsung pada 22 dan 23 November di Johannesburg.
Turut mengiringi, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.