fb fb fb fb fb

MOSTI guna teknologi baharu hasil hidrogen pepejal tanpa perlu elektrik tinggi

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang

KUALA LUMPUR, 20 November - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kini menggunakan teknologi baharu menghasilkan hidrogen daripada pepejal melalui sistem luar grid dikenali sebagai HyPEReactor, yang tidak memerlukan penggunaan elektrik tinggi.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata teknologi itu selari dengan Dasar dan Strategi Nanoteknologi Negara (DSNN) 2021–2030.

Katanya, DSNN menekankan pembangunan produk serta perkhidmatan nanoteknologi yang lestari dan hijau bagi memastikan daya saing di peringkat global.

"Penggunaan HyPEReactor turut menyokong Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR) yang menyasarkan Malaysia sebagai hab penghasilan hidrogen hijau di peringkat serantau, dengan integrasi kelestarian diperkukuh melalui projek demonstrasi program Kampung Angkat Madani.

"Penghasilan hidrogen tidak semestinya memerlukan tenaga elektrik tinggi, sebaliknya bergantung pada teknologi yang digunakan. Untuk 2026, kerajaan memperuntukkan RM2 juta bagi pelaksanaan elektrifikasi luar bandar menggunakan sistem HyPEReactor, dengan lokasi sedang dalam penentuan," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Rodiyah Sapiee (Batang Sadong) mengenai usaha kerajaan menyediakan insentif bagi merancakkan ekonomi hidrogen, susulan tanggapan bahawa penghasilan hidrogen memerlukan penggunaan tenaga elektrik yang sangat tinggi.

Tambahnya lagi, Malaysia Debt Ventures (MDV), agensi di bawah MOSTI, turut menyediakan pembiayaan sektor teknologi tinggi termasuk teknologi hijau melalui program sukuk bernilai RM2 bilion yang dilancarkan pada 2022.

Setakat ini, 148 syarikat teknologi hijau menerima pembiayaan berjumlah RM2.26 bilion.

Kerajaan turut memperluas Green Investment Tax Allowance (GITA) dan Green Income Tax Exemption (GITE) kepada teknologi hidrogen serta menyediakan pengecualian duti dan cukai import bagi peralatan tenaga boleh baharu termasuk hidrogen.

Ini termasuk kelayakan Investment Tax Allowance (ITA) 100 peratus untuk tempoh 10 tahun.

Beliau berkata langkah dasar lain yang dicadangkan merangkumi pakej tarif tenaga boleh baharu khusus hidrogen, kelonggaran akses grid, penggunaan Renewable Energy Certificates (REC), serta perwartaan tanah dalam kluster hidrogen bagi mempercepat pembangunan infrastruktur.

GRACE AISYAH KEDAYAN