TANJUNG MALIM, 23 Januari-Kewujudan beberapa Pusat Satelit ISN di beberapa universiti awam dilihat mampu membentuk budaya sukan sekali gus memperkasakan bakat-bakat muda baharu.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata pengiktirafan terhadap Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai Pusat Satelit Institut Sukan Negara (ISN) pada tahun lalu dilihat dapat mencipta ekosistem sukan yang lebih progresif, sejajar dengan matlamat negara untuk menjadi peneraju dalam bidang sukan.
“Hubungan strategik antara KBS dan UPSI penting untuk memastikan ilmu, inovasi, dan bakat dalam bidang sains sukan terus berkembang serta membantu menghasilkan lebih ramai bakat muda yang berprestasi tinggi, " katanya demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke UPSI pada Rabu.
Jelas Hannah, Pusat Satelit ISN di UPSI adalah bukti kejayaan integrasi sains dalam pembangunan bakat serta dapat menyediakan khidmat rehabilitasi sukan kepada pelajar dan atlet universiti.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI, Puan Sri Rohani Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faezal Md Ramli; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Rakan Muda) Jabatan Belia dan Sukan Negara, Syamsul Tahrin Mohd Tahir serta Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak, Nor Azah Ahmad Dahalan.
Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff menyambut baik kolaborasi strategik itu dalam usaha memacu kecemerlangan bidang sains sukan.
“Kerjasama dengan KBS melalui inisiatif seperti Pusat Satelit ISN adalah bukti nyata bahawa UPSI komited untuk memperkukuhkan pembangunan bakat dan teknologi dalam sukan.
“UPSI akan sentiasa menyokong usaha ini dengan menyediakan program dan kemudahan terbaik untuk melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang sains sukan", katanya demikian di sini.
Terdahulu, Oktober tahun lalu, Institut Sukan Negara (ISN) menubuhkan Pusat Satelit ISN bersama beberapa universiti awam bertujuan menyediakan perkhidmatan, penyelidikan dan kepakaran untuk ekosistem sukan di negara ini.
Sebagai rekod tujuh tujuh universiti yang terlibat dalam inisiatif ini ialah Fakulti Sukan dan Sains Eksesais, Universiti Malaya (UM), Sports Innovation Technology Centre, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).