KUALA LUMPUR, 20 November - Malaysia terus memperkukuh agenda teknologi hijau dan tenaga bersih melalui dasar serta inisiatif yang dirangka di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, termasuk pembangunan nanoteknologi dan hidrogen sebagai sumber tenaga masa depan.
Menterinya Chang Lih Kang berkata Dasar dan Strategi Nanoteknologi Negara (DSNN) 2021-2030 menetapkan pembangunan produk dan perkhidmatan nanoteknologi perlu bersifat lestari dan hijau bagi memastikan daya saing di peringkat global.
“Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR) yang menyokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), menyasar Malaysia sebagai hab penghasilan hidrogen bersih melibatkan pembebasan karbon yang rendah di peringkat serantau.” kata beliau ketika menjawab dalam sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Parlimen.
Tambahnya, integrasi kelestarian turut diperkukuh melalui projek demonstrasi seperti program Kampung Angkat Madani, termasuk pembangunan teknologi Hyperreactor bagi penghasilan hidrogen tanpa penggunaan elektrik yang tinggi.
Sebanyak RM2 juta diperuntuk pada tahun 2026 untuk elektrifikasi kawasan pedalaman menggunakan sistem tersebut.
Menerusi aspek pembiayaan, Malaysia Debt Ventures (MDV) menyediakan sokongan kepada projek teknologi hijau melalui program sukuk RM2 bilion serta pembiayaan di bawah Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS).
Setakat ini, 148 syarikat menerima pembiayaan dengan jumlah keseluruhan RM2.26 bilion bagi projek berkaitan teknologi hijau.
Kerajaan turut memperluas insentif seperti Green Investment Tax Allowance (GITA), Green Income Tax Exemption (GITE) dan pengecualian duti import peralatan tenaga boleh baharu.
Selain itu, projek hidrogen layak menerima Elaun Cukai Pelaburan (ITA) sebanyak 100% untuk perbelanjaan modal (CAPEX) sehingga tempoh 10 tahun.
Pelbagai langkah lain termasuk pakej tarif tenaga boleh baharu, kelonggaran akses grid, penggunaan Renewable Energy Certificates (REC) dan pewartaan tanah untuk kluster hidrogen turut dicadangkan bagi menurunkan kos pengeluaran hidrogen serta mempercepat pembangunan infrastrukturnya.