KUALA LUMPUR, 20 November - Kementerian Kerja Raya menegaskan tidak semua jalan raya dibawah tanggungjawab Jabatan Kerja Raya (JKR), sebaliknya melibatkan kerajaan negeri.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata sekiranya jalan yang rosak merupakan Jalan Persekutuan, Prosedur Operasi Standard (SOP) kerja-kerja bagi membaiki lubang perlu dijalankan dalam tempoh 24 jam selepas aduan diterima.
Sebaliknya jika jalan itu melibatkan jalan negeri, ia akan diselenggara oleh Syarikat Konsesi Penyelengaraan Jalan Raya Negeri dan terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri sepenuhnya.
Bagaimanapun JKR berfungsi memberi pandangan khidmat nasihat serta perkongsian kepakaran kepada kerajaan negeri melaksanakan kerja penyelenggaran melibatkan jalan di peringkat negeri.
"JKR Negeri Kelantan sentiasa memantau keadaan syarikat konsesi yang di lantik berdasarkan skop perjanjian yang telah dipersetujui.Antaranya diwajibkan melaksanakan pemeriksaan rutin secara berkala, termasuklah mengenal pasti jalan-jalan yang sering berlaku lubang benam. Laporan akan di keluarkan setiap bulan dengan pemeriksaan kekerapan dalam seminggu sekali.
"Itu di peringkat negeri...jadi syarikat konsesi menyediakan anggaran kos pembaikan secara preventif jika diperlukan, JKR negeri akan memohon peruntukan daripada kerajaan negeri," beliau menjawab soalan wakil Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim yang meminta penjelasan tindakan kerajaan mengenai laluan D29 di Kilometer 11.95 Jalan Gua Musang-Jelawang di Kelantan, setelah ditutup sepenuhnya berikutan runtuhan tanah yang berlaku pada 17 November 2025.
Menurut Datuk Seri Alexander, ketika ini kerja-kerja pembentungan sedang dijalankan oleh JKR Negeri yang dijangka siap Disember tahun ini.