fb fb fb fb fb

Anwar akan menyertai Forum Ekonomi Qatar 2024

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 11 Mei- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi ke Qatar bermula esok hingga 14 Mei ini atas jemputan Emir Qatar, Yang Mulia Sheikh Tamim Bin Hamad Al Thani.

Menerusi lawatan itu, Anwar juga akan mengadakan kunjungan menghadap Emir Qatar itu.

Menurut Wisma Putra, lawatan sulung Anwar ke Qatar juga bersempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Qatar.

"Lawatan itu juga akan melibatkan pertemuan dua hala antara Anwar dengan Perdana Menteri yang juga Menteri Luar Negeri Qatar, Tuan Yang Terutama Sheikh Mohammed Bin Abdulrahman Bin Jassim Al-Thani.

"Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan kemajuan hubungan dua hala terutamanya mengenai kerjasama ekonomi dan pendidikan serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa, termasuk konflik Palestin-Israel.

"Semasa di Doha, Anwar akan menyertai Forum Ekonomi Qatar 2024 dan bertemu dengan kapten-kapten industri dan para pelabur dari Qatar sebagai usaha menarik pelaburan bagi inisiatif Ekonomi MADANI.

"Beliau juga akan menghadiri pertemuan dengan diaspora Malaysia di Doha," menurut kenyataan itu.

Tambahnya, lawatan rasmi itu dijangka mengukuhkan lagi hubungan dan kerjasama dalam pelbagai aspek di antara Malaysia dan Qatar.

Anwar akan diiringi Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.

Dari Januari hingga Mac 2024, jumlah perdagangan Malaysia dengan Qatar meningkat 178.4 peratus kepada RM1.43 bilion (AS$303.9 juta) berbanding RM514.9 juta (AS$116.7 juta) untuk tempoh sama pada 2023.

Pada tahun 2023, Qatar merupakan rakan dagangan kelima terbesar Malaysia, destinasi eksport keenam terbesar dan sumber import keenam terbesar dari rantau Asia Barat.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM