KUALA KUBU BHARU , 2 September – Semua pegawai dan anggota bertugas menjaga keselamatan Pembesar Utama Negara serta orang kenamaan (VVIP) diwajibkan untuk mengikuti kursus keselamatan khas.
Langkah ini bagi mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan ketika menjalankan tugas.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, tindakan itu diambil susulan insiden cubaan seorang wanita mendekati Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah ketika sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri, semalam.
"Kita kena beri peningkatan terutama dari segi kursus bodyguarding menyerapkan elemen-elemen unit tindakan khas dan juga komando supaya dapat diperkemaskan pegawai-pegawai bertugas dengan pihak istana dan pihak kerajaan negeri", katanya.
Tambahnya, tahap keselamatan untuk semua pemimpin dan ketua negeri termasuk Sultan dan Yang di-Pertua Negeri akan dipertingkatkan melalui kursus pengawalan peribadi yang diserapkan dengan elemen Unit Tindakan Khas (UTK) serta komando.
"Kursus ini adalah khas kepada pegawai yang bertugas dengan pihak istana dan kerajaan negeri", tambahnya.
Beliau bercakap kepada media selepas Majlis Peluncuran Program Diploma Kepolisian (MQA) dan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (JPK) PDRM di Maktab PDRM Kuala Kubu Bharu di sini, hari ini.
Dalam pada itu, polis turut membuka kertas enkuiri tatatertib (KET) terhadap pegawai serta anggota pengiring yang bertugas semasa kejadian bagi mengenal pasti punca kecuaian.
Tambah beliau, siasatan ke atas wanita berusia 41 tahun berkenaan mendapati suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah serta pernah menjalani rawatan psikiatri.
Kes disiasat di bawah Seksyen 325/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyebabkan cedera parah.