
KUALA LUMPUR, 11 Oktober – Golongan muda perlu tampil sebagai penggerak utama memerangi rasuah, eksploitasi dan ketidakadilan, tanpa menunggu sehingga menjadi pemimpin pada masa hadapan.
- Golongan muda bukan hanya pemimpin masa depan; mereka bertanggungjawab membentuk pemikiran masyarakat dan memperjuangkan nilai keadilan sekarang.
- Kemajuan negara perlukan integriti, keadilan dan keberanian memperbetulkan kelemahan sistem, selain penguasaan ilmu dan teknologi.
- Manfaatkan platform iFUTURE untuk mengemukakan cadangan kepada kerajaan, perkukuh peranan mahasiswa dalam membina masyarakat bebas penyalahgunaan kuasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, golongan muda bukan sekadar pemimpin masa depan, sebaliknya bertanggungjawab membentuk pemikiran masyarakat dan memperjuangkan nilai keadilan pada masa kini.
Beliau berkata, mahasiswa perlu menjadi suara hati nurani masyarakat dengan menolak sebarang bentuk rasuah, eksploitasi dan ketidakadilan yang boleh menjejaskan pembangunan negara.
“Dalam sesetengah aspek, anda perlu memimpin mulai sekarang. Anda mewakili masa kini dan masa depan. Anda mesti menjadi suara hati nurani masyarakat pada hari ini.
“Masyarakat tidak boleh berkompromi dengan rasuah, eksploitasi dan ketidakadilan. Golongan muda mesti memperjuangkan perkara ini dengan segala kekuatan yang ada,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Hadapan Antarabangsa (iFUTURE) 2026.
Datuk Seri Anwar berkata, kemajuan negara bukan hanya bergantung pada penguasaan ilmu dan teknologi baharu, malah memerlukan integriti, keadilan serta keberanian untuk memperbetulkan kelemahan dalam sistem.
Sehubungan itu, beliau menggesa mahasiswa memanfaatkan platform berkenaan untuk mengemukakan pandangan dan cadangan penambahbaikan kepada kerajaan, selain memperkukuh peranan mereka dalam membina masyarakat yang bebas daripada rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
iFUTURE 2026 berlangsung selama tiga hari, dari 11 hingga 13 Oktober di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), dengan menghimpunkan 1,231 mahasiswa dari 60 negara, merangkumi 813 peserta tempatan dan 418 peserta antarabangsa.
Edisi ketiga anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Jabatan Pendidikan Tinggi, dengan kerjasama Yayasan Perkasa Siswa dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), itu bertemakan Mentakrif Semula Kepimpinan Masa Hadapan Berteraskan Nilai ‘(Redefining Future Leaders Through Value-Based Leadership)’.
Sidang kemuncak itu bertujuan membina jaringan kepimpinan mahasiswa tempatan dan antarabangsa menerusi wacana intelektual, dialog strategik serta interaksi bersama pemimpin negara dan tokoh pelbagai sektor, dengan penekanan terhadap integriti, pemikiran strategik serta kepekaan terhadap isu nasional dan global.
Sepanjang program, peserta mengikuti pelbagai forum dan dialog berkaitan pembinaan negara, inovasi, ekonomi kreatif, kepimpinan berdaya tahan, nilai dan pengaruh digital.
Aspirasi serta cadangan mahasiswa turut dirumuskan menerusi resolusi pemimpin muda yang akan dihimpunkan dalam ‘PlayBook iFUTURE 2026’.