Kontrak kerajaan wajib telus mulai 2027-PM

Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 11 Oktober – Semua kontrak kerajaan bagi projek sekolah, hospital, universiti dan jalan raya akan dilaksanakan secara telus sepenuhnya mulai tahun depan, termasuk pendedahan maklumat kontraktor, nilai kontrak, kos dan kemajuan projek.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendedahan justifikasi pemilihan syarikat kontraktor berbanding pesaing akan diberikan kepada orang ramai.
  • Langkah itu sebahagian usaha kerajaan memperkukuh tadbir urus dan memastikan perbelanjaan awam dilaksanakan secara telus dan bertanggungjawab.
  • Ketelusan dan tadbir urus yang baik penting bagi membendung ketirisan serta memastikan sumber kewangan negara dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat.
  • Usaha ini diharap meningkatkan keyakinan rakyat terhadap pengurusan dana awam, khususnya dalam sektor pendidikan dan kesihatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, orang ramai juga akan dapat mengetahui justifikasi pemilihan sesebuah syarikat bagi sesuatu kontrak berbanding syarikat lain yang turut bersaing.

Menurut beliau, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh tadbir urus serta memastikan setiap perbelanjaan awam dilaksanakan secara telus dan bertanggungjawab.

“Mulai tahun depan, setiap kontrak kerajaan, sama ada bagi projek sekolah, hospital, universiti atau jalan raya, mesti dilaksanakan secara telus sepenuhnya.

“Siapa kontraktornya, berapakah nilai kontrak, syarikat mana yang mendapat kontrak, berapakah kos dan bagaimana kemajuan projek, termasuk mengapa syarikat itu dipilih berbanding pesaing lain. Semua maklumat ini akan didedahkan secara telus dan boleh dilihat oleh semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Hadapan Antarabangsa iFuture 2026.

Anwar menegaskan, ketelusan dan tadbir urus yang baik penting bagi membendung ketirisan serta memastikan sumber kewangan negara dimanfaatkan sepenuhnya untuk kepentingan rakyat.

Usaha itu juga diharap dapat meningkatkan keyakinan rakyat terhadap pengurusan dana awam, khususnya dalam sektor pendidikan dan kesihatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.