KUALA LUMPUR, 10 Mei – "Melihat anak naik pentas ambil skrol diploma, itu sudah cukup membuatkan saya bahagia," itu luahan pelawak veteran, Sharizan Ahmad, 60, atau lebih dikenali sebagai Abon, apabila anak bongsunya, Nuratul Shakirah Sharizan menghadiahkan kejayaan konvokesyen sebagai hadiah hari lahirnya.
Nuratul, 26, graduan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) Pengurusan Sumber Manusia, menerima skrol sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke-101 di Dewan Agung Tuanku Canselor, Shah Alam, semalam.
Menurut Nuratul, pengorbanan kedua ibu bapanya menjadi pendorong utama kejayaannya, malah beliau menolak pinjaman pendidikan kerana bapanya mahu menyara semua anak-anak dengan rezeki yang halal tanpa beban hutang.
“Segala susah payah saya hadap kerana ibu bapa tak pernah lepas menyokong dari belakang,” katanya yang tidak gemar dikaitkan sebagai ‘anak artis’ dan lebih selesa menjalani kehidupan sederhana.
Tambahnya, identiti sebenar ayahnya hanya diketahui segelintir rakan rapat sepanjang pengajian.
"Saya cuba juga untuk sembunyikan identiti keluarga saya supaya saya tidak mendapat perhatian.
"Agak sukar untuk mengharungi keadaan tersebut kerana siapa je kan taknak tunjuk ibu bapa sendiri?
"Semasa semester akhir sebelum intern, barulah kawan uni saya tahu siapa sebenarnya ayah saya," katanya.
Sementara itu, Abon berkata beliau bekerja keras sejak muda agar keempat-empat anaknya mendapat pendidikan yang sempurna tanpa perlu berhutang.
“Saya kerah tenaga sejak muda supaya keluarga saya hanya bergantung harap kepada saya terutamanya anak-anak.
"Saya bertegas untuk tidak ambil Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kerana saya merasakan, saya masih mampu untuk menampung mereka,” kongsi beliau.