fb fb fb fb fb

Anak Aziz M. Osman mahu tambat hati masyarakat dengan masakan

Putera Muhamad Ameen Aziz, 22 tahun bergelar graduan Sarjana Muda Sains (Kepujian) Pengurusan Seni Kulinari/Foto UiTM

KUALA LUMPUR, 10 Mei - Anak bongsu pengarah filem terkenal Aziz M. Osman, Putera Muhamad Ameen Aziz, menamatkan pengajian dalam bidang kulinari dalam Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke-101, di Dewan Agung Tuanku Canselor, Shah Alam pada Khamis.

Ameen, 22 menerima Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Pengurusan Seni Kulinari dan menegaskan bahawa kejayaannya adalah hasil usaha sendiri tanpa bergantung kepada pengaruh bapanya.

“Walaupun ayah dikenali ramai, saya tetap mahu dilayan seperti pelajar biasa. Saya berusaha untuk berdikari dan kekal rendah diri agar orang sekeliling selesa,” katanya ketika ditemui selepas majlis konvokesyen.

Aziz, 62, berkata beliau sentiasa menyokong minat anaknya dan tidak pernah memaksa Ameen mengikut jejak langkahnya dalam bidang seni.

Malah beliau merestui penuh pilihan anaknya dalam dunia kulinari.

“Saya tak kisah dia nak ambil bidang apa sekalipun, semua saya sokong asalkan benda baik untuk diri dia. Untuk ketentuan apa yang dia nak buat dalam hidup dia, saya serah kepada dia, saya cuma pimpin sahaja, yang penting dia jadi orang, bukan benda lain," kata pengarah filem Misi XX-Ray itu.

Tambah beliau, kejayaan Ameen membuatkannya berasa sebak dan bersyukur, kerana melihat anaknya membina masa depan mengikut minat sendiri dan bukan kerana legasi keluarga.

GRACE AISYAH KEDAYAN