KUALA LUMPUR, 23 Oktober - Malaysia kini semakin bersedia menghadapi risiko bencana gempa bumi dan tsunami apabila maklumat amaran dapat dikeluarkan dalam tempoh lapan minit selepas pengesanan, sebelum disalurkan kepada agensi berkaitan serta orang awam melalui pelbagai saluran komunikasi.
Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, langkah tersebut dilaksanakan melalui Sistem Amaran Awal Tsunami Nasional Malaysia (SAATNM) yang beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, dikendalikan Pusat Operasi Gempa Bumi dan Tsunami Nasional bawah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).
"Maklumat gempa dan amaran awal tsunami dikeluarkan dalam tempoh lapan minit selepas pengesanan, disalurkan kepada agensi berkaitan dan orang awam melalui pelbagai saluran komunikasi.
"MET Malaysia juga sedang menaik taraf sistem bagi mempercepat pengeluaran maklumat kepada enam minit menjelang 2026," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan yang dikemukakan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui MET Malaysia akan terus memperkukuh sistem pemantauan gempa bumi dan amaran awal tsunami negara.
Langkah itu bagi memastikan kesiapsiagaan terhadap risiko bencana dapat ditingkatkan, sekali gus melindungi keselamatan rakyat.
"Walaupun Malaysia terletak di luar Lingkaran Api Pasifik, negara ini masih terdedah kepada gegaran akibat gempa bumi besar di Indonesia dan Filipina, selain kejadian gempa bumi tempatan berskala kecil di Sabah, Sarawak serta beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia," katanya lagi.
MET Malaysia kini mengendalikan 80 stesen seismik di seluruh negara, disokong 323 stesen antarabangsa yang membekalkan data masa nyata.
Kerjasama juga dijalinkan bersama Pacific Tsunami Warning Centre (PTWC), South China Sea Tsunami Advisory Center (SCSTAC) dan Indian Ocean Tsunami Warning & Mitigation System (IOTWMS) bagi memastikan setiap amaran yang dikeluarkan lebih awal, tepat dan diyakini.
Antara langkah pencegahan lain yang dijalankan termasuk program kesedaran awam dan latihan simulasi bencana bersama komuniti setempat, kemaskini peta bahaya seismik secara berkala serta kajian pemetaan sesar aktif bagi menilai tahap risiko di kawasan tertentu.
NRES menegaskan, peningkatan keupayaan sistem dan kesedaran masyarakat ini penting bagi memastikan Malaysia kekal bersedia menghadapi sebarang kemungkinan bencana, demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat.