fb fb fb fb fb

Amaran luruan monsun: APM Sarawak siap siaga hadapi hujan lebat

Pengarah Pertahanan Awam Negeri Sarawak, PPj. (PA) Mohtar Samat ketika menghadiri sesi temu bual di konti Sarawak FM, hari ini/Foto APM Sarawak

KUCHING, 3 Februari – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak menambah 500 anggota sebagai persiapan menghadapi amaran luruan monsun yang dijangka bermula esok hingga Jumaat ini.

Pengarah Pertahanan Awam Negeri Sarawak, PPj. (PA) Mohtar Samat, berkata dengan pertambahan anggota ini, APM kini mempunyai lebih 3,000 anggota yang akan dikerahkan ke seluruh negeri bagi membantu operasi menyelamat serta pemindahan penduduk terjejas.

"Dengan tambahan ini, kini kita mempunyai lebih 3,000 anggota yang dikerahkan di seluruh negeri bagi membantu operasi menyelamat dan pemindahan penduduk, selain memastikan bantuan logistik dapat disampaikan dengan lancar," katanya ketika ditemui selepas sesi temu bual di konti Sarawak FM, hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa semua kenderaan logistik, khususnya lori, telah diselenggara segera bagi memastikan ia dapat digunakan sepenuhnya sepanjang operasi.

"Walaupun terdapat satu atau dua kenderaan yang terjejas akibat banjir dalam, pembekal kita telah berjaya melakukan penyelenggaraan di lapangan, dan kenderaan tersebut kini boleh digunakan sepenuhnya," tambahnya.

Dalam aspek pengurusan bencana, APM Sarawak akan terus berkolaborasi dengan Pejabat Daerah, Pejabat Residen, serta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak bagi menggerakkan semua agensi yang diperlukan sekiranya berlaku bencana.

APM turut menasihatkan penduduk di kawasan berisiko agar sentiasa berwaspada dan bersedia untuk berpindah sekiranya diarahkan bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), memaklumkan keadaan cuaca tersebut berpotensi menyebabkan hujan lebat berterusan di Sabah dan Sarawak, sekali gus meningkatkan risiko banjir di kawasan rendah.

GRACE AISYAH KEDAYAN