KUALA LUMPUR, 11 Januari - Kerajaan MADANI terus komited dalam merancang serta melaksanakan usaha bagi memperkukuh ekonomi negara dan sosioekonomi rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dengan kunjungan tiga pemimpin negara luar ke negara ini memperkukuh hubungan dua hala.
"Alhamdulillah, minggu yang penuh bermakna dan produktif buat Malaysia apabila kita menerima kunjungan pemimpin negara-negara sahabat Singapura, Indonesia dan Jepun.
"Selain mengukuhkan lagi hubungan erat yang sedia terjalin, pertemuan dan perbincangan tertumpu kepada lembaran kerjasama baharu yang memberi manfaat kepada rakyat dan negara," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan turut memperhebat citra negara selaku Pengerusi ASEAN pada tahun ini demi kemakmuran bersama rantau ini.
Tiga pemimpin negara mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia minggu ini untuk bertemu dengan Perdana Menteri iaitu Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong, Presiden Indonesia Prabowo Subianto dan Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba
Lawatan tersebut bertujuan mengukuhkan hubungan dua hala, membincangkan kerjasama ekonomi, serta menangani isu serantau.
Malaysia secara rasmi memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1 Januari 2025 sekali gus menjadi kali kelima negara memegang jawatan itu.