KUALA LUMPUR, 9 Disember - Pindaan kepada Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) 1981 (Akta 244) dilihat sebagai langkah penting untuk memperkukuh perlindungan terhadap seluruh ekosistem industri kreatif.
Penerbit dan Pengarah Filem Datuk Dr. Yusof Haslam berkata, pindaan tersebut bukan sekadar mewujudkan garis panduan baharu, tetapi turut merombak semula struktur industri agar lebih tersusun, berdisiplin dan bebas daripada eksploitasi.
RUU itu turut menekankan aspek kebajikan pekerja kreatif melalui keperluan keselamatan, prosedur kerja serta caruman wajib seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau skim simpanan pekerja lain.
"Akta ini melindungi pemain-pemain dalam industri. Jadi saya rasa ini satu usaha yang baik oleh pihak FINAS. Dengan adanya akta ini, semua pemain industri mempunyai tanggungjawab masing-masing.
"Sekiranya berlaku kecuaian, pihak berkaitan boleh mengambil tindakan. Contohnya, jika para artis atau kru mengalami kemalangan, sebelum ini perkara begitu sering tidak diendahkan. Dengan akta ini, hal sebegitu akan diberi perhatian dan diambil dengan lebih serius," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri Kota Media di sini.
Selain itu, beliau menegaskan bahawa kos tambahan bukan alasan untuk mengabaikan kebajikan pekerja, sebaliknya ia adalah pelaburan jangka panjang untuk memastikan industri kreatif lebih kempetitif.
Perubahan itu mampu mewujudkan ekosistem lebih stabil terutama apabila semua pihak mematuhi peraturan dan memainkan peranan masing-masing dengan integriti.
Pindaan berkenaan juga dianggap sebagai lonjakan yang diperlukan FINAS bagi memodenkan industri serta menyelaras tanggungjawab penerbit, pelakon dan kru secara lebih sistematik.
Dengan pelaksanaan Akta 244, Datuk Dr. Yusof Haslam percaya industri kreatif Malaysia akan lebih teratur dan mampu bergerak ke arah standard antarabangsa.