fb fb fb fb fb

150,000 akaun pengguna di Kedah alami gangguan air

FOTO HIASAN

ALOR SETAR, 29 September- Sebanyak 150,000 akaun pengguna di daerah Kota Setar; sebahagian Pendang; Kubang Pasu; Ayer Hitam, Jerlun dan Pokok Sena di Kedah mengalami gangguan bekalan air hari ini susulan pengurangan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Pelubang akibat kadar kekeruhan air mentah yang tinggi.

Menurut kenyataan Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA), kekeruhan air mentah berpunca daripada hujan lebat yang berterusan di kawasan berkenaan.

Setakat pukul 3.00 petang tadi, LRA Pelubang hanya beroperasi pada kadar 67 peratus.

SADA memaklumkan gangguan bermula pada pukul 11.00 pagi tadi dan akan berterusan sehingga kadar kekeruhan air mentah kembali normal serta agihan bekalan air disambung semula.

Di daerah Kota Setar, kawasan terjejas termasuk sepanjang jalan Alor Mengkudu ke Kuala Kedah; Pekan Simpang Kuala ke Tandop dan sepanjang jalan Kepala Batas ke Anak Bukit.

Bagi daerah Kubang Pasu dan Jerlun, kawasan terjejas meliputi keseluruhan Pekan Jitra, Jalan Bukit Wang dan Wang Tepus, Jalan Kodiang ke Changlun, keseluruhan Ayer Hitam, keseluruhan Megat Dewa, Kuala Jerlun, keseluruhan Sanglang dan kawasan sekitar.

Di Pokok Sena, kawasan yang terjejas termasuk Bukit Teriak, Jalan Empa dan KEDA Lengkuas, manakala di Pendang, kawasan terlibat meliputi Pekan Langgar ke Pekan Tanah Merah Pendang dan Pekan Tanah Merah Pendang ke Simpang Empat Kangkong.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakannya secara berhemah sepanjang tempoh gangguan.

3909 BANJIR 150000 AKAUN TERJEJAS 2
KENYATAAN MEDIA SADA

SITI AISHAH MD ISA