fb fb fb fb fb

Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negara contoh terbaik henti tabiat merokok

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni

KUALA LUMPUR, 13 Disember - Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negara disaran menjadi contoh terbaik kepada masyarakat dalam usaha kerajaan menghentikan tabiat merokok, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni.

Ini memandangkan kedudukan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negara itu, sebagai penggubal dasar dan undang-undang negara yang tertinggi.

Beliau berkata perkara itu perlu diberi perhatian oleh Dewan Negara dan Dewan Rakyat berikutan ramai dalam kalangan senator dan wakil rakyat yang merupakan perokok tegar dan perlakuan negatif itu ditularkan menerusi media sosial.

"Penguatkuasaan (Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 kelak) perlu diambil serius. Tan Sri Yang Dipertua , Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar saya mohon khidmat nasihat dan saranan kepada Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara agar tidak merokok.

"Kita adalah penggubal dasar, jangan pula beri contoh buruk kepada masyarakat kerana banyak gambar dan cerita bahawa masih ramai perokok dalam kalangan Ahli Parlimen dan Senator," katanya dalam sesi jawab lisan di sidang Dewan Negara.

Lukanisman menjawab soalan tambahan Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff yang ingin tahu langkah kerajaan memastikan penguatkuasaan undang-undang dapat membendung peningkatan merokok dalam kalangan generasi muda.

TETITIA YUSOFF