fb fb fb fb fb

Aduan kepenggunaan, GPS jadi minda dan suara rakyat - Armizan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 19 November- Kerajaan mahu Gerakan Pengguna Siswa (GPS) menjadi minda dan suara rakyat dalam menyampaikan aduan berkaitan kepenggunaan.

Ini sekali gus mampu membentuk golongan pengguna yang bijaksana dan berhemah di negara ini.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, GPS memainkan peranan penting dalam melaksanakan advokasi kepenggunaan bukan sahaja kepada rakan sebaya di kampus tetapi masyarakat bandar dan luar bandar serta komuniti setempat.

"Kita mahukan GPS memainkan peranan sebagai minda dan suara kerajaan. Cukup penting bukan hanya menyampaikan, memberikan aduan tetapi sebagai mahasiswa.

Kita mengharapkan makna keterlibatan mahasiswa melalui GPS ini sampai ke peringkat menjadi pencetus minda suara kepada rakyat dan kerajaan itu sendiri," kata Datuk Armizan, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Penutupan Majlis Perdana Gerakan Pengguna Siswa Peringkat Kebangsaan 2024 di ibu negara.

Tambah beliau, bagi tujuan tersebut setiap ahli GPS perlu berilmu, berpengetahuan serta memahami latar belakang sesuatu isu terutama dalam landskap trend kepenggunaan kini.

Selain itu, penambahan bilangan wakil GPS di kampus seluruh negara, membuktikan perkembangan positif menambah nilai dalam konteks kepenggunaan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM