fb fb fb fb fb

98% penerima SARA bulanan telah belanja RM3.66 bilion

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 4 November - RM3.66 bilion telah dibelanjakan oleh 98 peratus penerima bulanan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di seluruh negara bagi membeli barangan keperluan asas menggunakan MyKad setakat 3 November.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata dalam tempoh sama, 100 peratus penerima bantuan itu di negeri Perlis, Sabah, Kelantan, Terengganu dan Kedah telah membuat pembelian keperluan asas melalui SARA.

Menurut beliau, bagi penerima penghargaan SARA RM100 pula, lebih 18.3 juta rakyat ataupun 83 peratus berjaya memanfaatkannya dengan melibatkan kos RM1.69 bilion.

"Kerajaan sentiasa memastikan manfaat SARA itu bukan hanya kepada penerima bantuan tetapi turut menyokong peniaga kecil, kedai runcit persendirian dan kedai koperasi. Setakat 3 November juga, inisiatif itu berjaya melibatkan lebih 8,700 Rakan Niaga SARA termasuk sekitar 2,500 kedai runcit kecil di seluruh negara.

"Ini peningkatan besar berbanding 700 Rakan Niaga SARA termasuk 180 kedai runcit kecil pada tahun lepas. Antara koperasi yang menjadi Rakan Niaga SARA termasuklah Coop Mart, Koperasi Penjara Berhad, Koperasi FELCRA dan Koperasi FELDA Sungai Koyan 2," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat dasar bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, hari ini.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN