KUCHING, 21 April- Hampir 900,000 lencana Jalur Gemilang akan diagihkan kepada semua sekolah rendah dan menengah di seluruh Sarawak bermula minggu ini sebagai usaha memupuk semangat patriotisme dalam kalangan pelajar.
Menurut Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak, Omar Mahli, agihan lencana akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga hujung April melibatkan sebanyak 1,460 sekolah rendah dan menengah di seluruh negeri.
“Setiap daripada 442,817 pelajar akan menerima dua lencana Jalur Gemilang secara percuma,” jelas beliau sambil memaklumkan bahawa kelancaran agihan tertakluk kepada jumlah stok yang disediakan pihak pembekal.
Majlis simbolik pemakaian Lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid peringkat negeri Sarawak disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri, dalam satu majlis di SM Agama Sheikh Haji Othman Abdul Wahab, Jalan Matang pagi tadi.