KUALA LUMPUR, 12 Februari – Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) menyasarkan pembinaan sebanyak 80,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun bermula 2018 menerusi Program Residensi Wilayah dan Residensi MADANI.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata sehingga 31 Januari lalu, sebanyak 72,864 unit telah berjaya dilaksanakan melibatkan 101 projek di Wilayah Persekutuan yang merangkumi projek siap dibina, dalam pembinaan dan yang telah mendapat Perintah Pembangunan.
Ini termasuk 5,015 unit di bawah Residensi Putrajaya, merangkumi Residensi MADANI dan Residensi Wilayah, yang dijangka siap antara tahun 2027 hingga 2028.
"Berdasarkan data tersebut, kita telah berjaya mencapai 91 peratus daripada sasaran yang ditetapkan dalam penyediaan rumah mampu milik khususnya bagi warga Wilayah Persekutuan. Saya percaya baki kira-kira 7,000 unit lagi akan dapat dicapai dalam tempoh berbaki tiga tahun," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini.
Sementara itu, di bawah Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL 2040), sebanyak 139 tapak dengan keluasan 1,228.96 hektar telah dikenal pasti sebagai kawasan berpotensi untuk pembangunan semula.