JOHOR BAHRU, 28 Oktober- Seramai 68 orang nelayan di sekitar Pasir Gudang, dekat sini, menerima manfaat melalui bantuan yang disalurkan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di bawah Program Peningkatan Pendapatan - Insentif/Bantuan Peralatan Penangkapan Ikan (Touch Point).
Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil berkata ia bertujuan membantu menambah pendapatan nelayan golongan B40 yang terlibat dalam aktiviti penangkapan ikan bagi meningkatkan taraf hidup dan kualiti hidup mereka.
Katanya bantuan ini juga bertujuan meningkatkan kecekapan serta kemahiran nelayan ke arah peningkatan produktiviti sektor perikanan.
“Sebanyak RM61,500 diperuntukkan bagi bantuan touch point kepada 51 penerima berbentuk seunit enjin bot 40HP kepada seorang penerima; 50 unit Kotak Ikan Berinsulasi (Tong Fiber) 100 liter kepada 50 penerima dan 150 unit jaring kepada 50 penerima.
“Turut diberikan adalah bantuan RM15,900 kepada dua penerima nelayan B40 dengan masing-masing menerima satu unit enjin bot 30HP dan 35 unit jaring,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu Faiz berkata RM9,672 lagi telah diperuntukkan bagi bantuan touch point Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) kepada 16 penerima berbentuk 12 Unit Kotak Ikan Berinsulasi (Tong Fiber) 50 Liter kepada 12 penerima; 123 unit jaring kepada empat penerima dan seunit enjin bot 40HP kepada seorang penerima.-BERNAMA