65 peratus kawasan sawah MADA sedia untuk musim penanaman padi

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 25 Mei – 65 peratus kawasan sawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Kedah kini bersedia untuk musim penanaman padi, dengan pesawah dijangka mula menabur benih selepas Aidiladha.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bekalan air di kawasan sawah pulih, memberi keyakinan penanaman padi dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.
  • Sebilangan besar pesawah menangguhkan penanaman akibat cuaca tidak menentu dan kebimbangan bekalan air.
  • Gardentopia menunjukkan komitmen keterjaminan makanan dan sokong pertanian bandar, termasuk program komuniti diteruskan dengan peruntukan RM30 juta.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, tinjauan beliau ke Perlis semalam mendapati bekalan air di kawasan sawah mula pulih, sekali gus memberi keyakinan proses penanaman dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Air di petak telah ada dan air empangan telah mula meningkat. Saya yakin mereka dapat lakukan penanaman pada masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pusat Informasi Pertanian Kebuniti atau Gardentopia, sebuah model kebun komuniti berkonsepkan taman atas bumbung di Wisma Tani di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan berita semalam bahawa hanya 10 peratus daripada 56,000 pesawah di Kedah termasuk di kawasan MADA memulakan aktiviti penanaman padi setakat ini, manakala sebahagian besar lagi masih menangguhkan penanaman berikutan kebimbangan berhubung keadaan cuaca dan bekalan air.

Menurutnya, kebimbangan oleh pesawah berasas memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu boleh memberi kesan kepada hasil tanaman serta keseluruhan musim penanaman.

Ketika diminta mengulas mengenai peningkatan kos operasi yang dihadapi pesawah termasuk melibatkan kerja pembajakan, penggunaan jentera dan input pertanian, beliau berkata kerajaan sentiasa prihatin.

Pelbagai bentuk bantuan telah disalurkan bagi mengurangkan beban golongan berkenaan, sekali gus memastikan sektor pengeluaran padi negara terus stabil.

Sementara itu, Datuk Seri Mohamad berkata, pelancaran Gardentopia membuktikan komitmen kerajaan dalam memperluas agenda keterjaminan makanan negara melalui penglibatan komuniti dan penjawat awam.

Inisiatif itu selari dengan aspirasi kementerian untuk membudayakan pertanian domestik melalui Kempen Kebun di Rumah Sendiri (KENDIRI) yang mengangkat slogan “Tanam Apa Yang Kita Makan, Makan Apa Yang Kita Tanam”.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Jabatan Pertanian atas pendekatan yang bersifat praktikal, iaitu ‘walk the talk‘ dan bukan sekadar memberi teori semata-mata. Jabatan ini turut menyediakan khidmat nasihat kepada individu yang ingin mencuba bidang pertanian di rumah.

“Walaupun mempunyai kawasan tanah yang kecil dan ruang yang terhad, masyarakat masih mampu memperoleh hasil pertanian, khususnya untuk kegunaan harian serta dikongsi bersama komuniti setempat,” katanya.

Tambah beliau, pembangunan Gardentopia turut mencerminkan evolusi transformasi pertanian bandar negara yang telah melalui beberapa fasa penting bermula dengan Rancangan Buku Merah pada 1960, diikuti Rancangan Buku Hijau pada 1974, Program Bumi Hijau pada 2006, Program Pertanian Bandar pada 2014 serta Program Pembangunan Pertanian Komuniti 2021 hingga 2025.

Program itu kini diteruskan menerusi Program Pengukuhan dan Kemampanan Komuniti Pertanian 2026-2030 yang melibatkan peruntukan RM30 juta.

Gardentopia yang terletak di Rooftop Podium 1, Wisma Tani berfungsi sebagai pusat rujukan, informasi dan hab latihan teknikal pertanian kebun boleh makan, khususnya bagi mengoptimumkan aktiviti pertanian di kawasan ruang terhad.

Kemudahan tersebut turut menyediakan platform pembelajaran interaktif dan latihan amali kepada masyarakat awam yang berminat mendalami pertanian bandar dalam tempoh singkat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.