fb fb fb fb fb

624,000 dos vaksin untuk kanak-kanak tiba pagi tadi

FOTO KKM

SUBANG, 28 Januari- Sebanyak 624,000 dos vaksin jenis mRNA Comirnaty®️10mcg Concentrate for Dispersion (PfizerBioNTech) tiba di Kompleks Raya, di sini, pagi ini.

Penghantaran pertama itu akan diunakan bagi pemberian vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak berumur 5 hingga bawah 12 tahun, dijadualkan bermula bulan depan melalui Program Vaksinasi COVID-19 Kanak-kanak (PICKids).

Status Facebook Kementerian Kesihatan memaklumkan, pesawat TH383 milik Raya Air selamat mendarat pada 7.15 pagi tadi.

“Perjalanan vaksin dari kilang Pfizer di Belgium telah diuruskan oleh syarikat farmaseutikal tersebut dan DHL, peneraju dalam industri logistik.

“Vaksin telah dibawa dari Puurs, Belgium dan transit di lapangan terbang di Jerman iaitu Leipzig Halle Airport, sebelum meneruskan perjalanan ke Singapura untuk pengedaran ke Malaysia,” menurut status tersebut.

Sebanyak 72 kotak Sotbox Vaksin akan dihantar ke 52 pusat simpanan Vaksin Ultra Low Freezer (ULTF) di 12 buah negeri seperti Pahang, Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak, WP Kuala Lumpur, WP Putrajaya, WP Labuan Selangor, Kelantan dan Terengganu.

Manakala di kawasan utara seperti Kedah, Perlis, Perak akan terus dihantar melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. Dianggarkan seramai 4 juta kanak-kanak berumur 5 hingga bawah 12 tahun layak untuk menerima vaksin jenis itu.

Buat permulaan, pemberian vaksin Pfizer (Kanak-kanak) akan dilaksanakan di Lembah Klang melalui hospital-hospital bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah perubatan, manakala pemberian vaksin bagi kanak-kanak yang tiada masalah perubatan akan diberi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi.

Ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang berumur dari 5 hingga bawah 12 tahun boleh membuat tempahan melalui Sistem Tempahan Janji Temu di Aplikasi MySejahtera.

Media Baharu