KUALA LUMPUR, 25 Mei - Penduduk Labuan bakal menerima unit kediaman baharu melalui Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Jalan Batu Arang, Tanjung Aru selewat-lewatnya akhir tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata, pembinaan projek bernilai RM112 juta itu hampir siap dengan mempunyai 500 unit rumah kediaman.
"Untuk PPR Batu Arang, ia mempunyai 500 unit rumah kediaman dengan dua blok 13 tingkat bakal menempatkan warga Labuan yang layak serta dilengkapi dengan kemudahan tadika, dewan orang ramai, surau dan taman permainan," katanya menerusi kenyataan media pada Sabtu.
Pada masa sama, beliau turut mengarahkan Perbadanan Labuan (PL) untuk meneliti dasar dan syarat kelayakan bersama-sama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi memastikan projek ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk.
Selain itu, beliau mengingatkan kepada pemaju supaya memenuhi semua spesifikasi yang ditetapkan pihak berkuasa iaitu PPR Batu Arang dna Sekolah Menengah Agama Labuan Sungai Bedaun.
Ini termasuk memastikan penyerahan dapat dilaksanakan mengikut tarikh yang ditentukan.
Untuk Sekolah Menengah Agama Labuan Sungai Bedaun pula, Dr Zaliha menegaskan ia merupakan projek kendalian Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang bakal memanfaatkan 600 orang pelajar khususnya anak-anak asnaf.
“Ini turut dapat juga menampung pelajar-pelajar aliran agama yang berminat dari Sabah dan Sarawak.
“Sekolah ini dijangka siap dan beroperasi selewat-lewatnya pada tahun 2027,” katanya.