PUTRAJAYA, 21 Januari- Sebanyak 5,000 naskhah suci al-Quran bernilai RM363,000 disumbangkan kepada Skuad Musa’adah Al-Falah MADANI untuk diagihkan kepada masjid, surau, sekolah dan institusi pendidikan Islam yang terjejas akibat banjir tahun lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata sumbangan itu bertujuan memastikan amalan membaca al-Quran tidak terhenti.
"Kita akan agihkan Al-Quran ini kepada mereka yang terjejas banjir di masjid dan surau. Semoga agihan mushaf (naskhah al-Quran) ini dapat dimanfaatkan dan mendidik masyarakat Islam untuk terus membaca serta menghayati suruhan dan larangan Allah," katanya pada Majlis Penyampaian Sumbangan Naskhah al-Quran di sini hari ini.
Jelasnya, kerja-kerja agihan akan dilakukan dalam masa terdekat ke negeri-negeri yang terjejas.
Yayasan Restu merupakan penyumbang terbesar dengan menyumbang 2,500 naskhah bernilai RM75,000, diikuti lima lagi badan bukan kerajaan (NGO) lain termasuk Wakaf Diraja Sultan Idris, Kumpulan Karangkraf, Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur, Pertubuhan Ikatan Kasih Ummah (PIKU) dan Yayasan Ade Azhar.