KANGAR, 7 Disember - Nasib 46 keluarga yang terjejas banjir di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kayang mendapat perhatian Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Bangsal Lebah.
Mereka menerima sumbangan yang disalurkan JPKKP tersebut, berupa barangan keperluan harian dan wang tunai.
Menurut pengerusinya, Norhayati Hashim, dengan sumbangan tersebut, diharap penduduk yang terjejas dapat membina kembali kehidupan selepas bencana banjir melanda kawasan penempatan mereka.
Penerima sumbangan merupakan penduduk yang terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Perlis.
"Bukan setakat penyaluran sumbangan, pengurusan JPKKP turut bekerjasama dengan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu membersihkan rumah penduduk terjejas bagi misi pasca banjir," ujar beliau.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Sumbangan Penduduk Terjejas Banjir di Kampung Bangsal Lebah yang disempurnakan Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya.
Banjir yang melanda Perlis sejak 23 November lalu surut sepenuhnya dan dalam tempoh tersebut lebih 8,000 penduduk telah berlindung di 24 PPS.
PPS terakhir di Sekolah Kebangsaan Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar yang menempatkan 15 orang, ditutup secara rasmi pada 10 pagi semalam setelah semua penduduk dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.