45 pelajar MTSD tamat hafazan 30 juzuk Al-Quran

Foto Urus Setia Penerangan Darul Aman – UPDA

ALOR SETAR, 29 Ogos – Seramai 45 pelajar Maahad Tahfiz Sains Darul Aman (MTSD) berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk Al-Quran, selain mengekalkan kecemerlangan dalam bidang akademik khususnya sains.

RINGKASAN BERITA AI
  • Majlis Graduasi Huffaz 2026 disempurnakan Raja Muda Kedah di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman, Alor Setar.
  • Enam pelajar terima anugerah khas termasuk Anugerah Tokoh Hafiz dan Tokoh Hafizah kepada Afham Harraz dan Amiratul Mujahidah.
  • Dua Hadiah As-Syatibi dan dua Hadiah Zaid Thabit disampaikan bagi kecemerlangan qiraat dan penulisan ayat hafazan.
  • MTSD gabungkan Kurikulum Bersepadu Tahfiz dan KSSM; sejak 2012 seramai 450 pelajar menamatkan hafazan.

Pencapaian itu diraikan pada Majlis Graduasi Huffaz 2026 MTSD yang disempurnakan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman, Alor Setar, hari ini.

Majlis anjuran Lembaga Maktab Mahmud itu turut menjadi simbol penghargaan terhadap usaha dan ketekunan pelajar berkenaan sepanjang mengikuti pengajian di institusi tersebut.

Pada majlis itu, enam pelajar menerima anugerah khas termasuk Anugerah Tokoh Hafiz dan Anugerah Tokoh Hafizah atas pencapaian cemerlang dalam hafazan 30 juzuk Al-Quran.

Anugerah Tokoh Hafiz diberikan kepada Afham Harraz Mohd Nazri, manakala Anugerah Tokoh Hafizah diterima Amiratul Mujahidah Muhammad Haafizuddin.

Turut disampaikan dua Hadiah As-Syatibi bagi pencapaian cemerlang dalam ilmu qiraat serta dua Hadiah Zaid Thabit bagi kecemerlangan penulisan ayat hafazan.

Majlis itu turut memberi penghargaan kepada empat guru halaqah menerusi Hadiah Kecemerlangan Murabbi Halaqah atas kejayaan membimbing 45 pelajar berkenaan sehingga mengkhatamkan hafazan 30 juzuk Al-Quran.

Majlis Graduasi Huffaz 2026 MTSD bukan sahaja meraikan kejayaan pelajar menguasai hafazan Al-Quran, malah menjadi platform menghargai peranan guru, ibu bapa dan seluruh warga sekolah yang membantu membimbing mereka.

MTSD merupakan satu-satunya sekolah di bawah pentadbiran Lembaga Maktab Mahmud yang menggabungkan Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).

Sejak ditubuhkan pada 2012, seramai 450 pelajar MTSD telah berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk Al-Quran.

Pencapaian itu selaras dengan matlamat institusi berkenaan untuk melahirkan generasi huffaz yang berilmu, berdisiplin, cemerlang dalam bidang akademik serta mempunyai akhlak yang tinggi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.