
BATU KAWAN, 29 Ogos – Pengakap Malaysia mampu mengharumkan nama negara di persada antarabangsa, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Pengakap Malaysia boleh menjadi contoh kepada pergerakan pengakap dunia berdasarkan pengalaman mengharungi pelbagai cabaran dan kebolehsuaian.
- Keupayaan menyesuaikan diri perlu diperkukuh melalui persediaan dan pembentukan diri berterusan supaya kekal relevan.
- Mengimbau sejarah, latar belakang dan warisan memberi kekuatan untuk bangkit serta membina masa depan yang lebih kukuh.
- Jambori diharap menambah semangat peserta dan mengukuhkan tradisi, sambil anak-anak menunjukkan contoh terbaik mewakili Malaysia.
Berucap pada Perasmian Jambori Pengakap Malaysia ke-15 (MYJAM15) di Stadium Negeri Pulau Pinang, di sini hari ini, Perdana Menteri berkata Pengakap Malaysia juga mampu menjadi contoh kepada pergerakan pengakap di seluruh dunia, berdasarkan pengalaman mengharungi pelbagai cabaran serta keupayaan menyesuaikan diri dengan tuntutan semasa.
Beliau berkata keupayaan itu perlu terus diperkukuh dengan persediaan dan pembentukan diri yang berterusan bagi memastikan Pengakap Malaysia kekal relevan dalam menghadapi cabaran masa kini.
“Mengimbau sejarah, latar belakang dan warisan, kita juga mempunyai kekuatan untuk bangkit membina masa depan. Jadi, saya harap jambori pengakap ini di Batu Kawan, Pulau Pinang, turut menambah semangat dan mengukuhkan tradisi kita yang agung.
“Anak-anak dari Malaysia, berilah contoh yang terbaik. Anak-anak yang mewakili negara yang hebat, Malaysia, boleh dan mampu menunjukkan kepada dunia bahawa Pengakap Malaysia mampu mengangkat nama negara kita,” katanya.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.