
KUALA LUMPUR, 29 Ogos – Beregu utama negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik bakal kembali bergandingan selepas tamat saingan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, dengan kedua-duanya komited meneruskan perjuangan bersama sehingga Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028.
- Keputusan dibuat selepas perbincangan Lee Chong Wei bersama barisan kejurulatihan dan pemain.
- Untuk Sukan Asia, Aaron digandingkan dengan Tee Kai Wun; Wooi Yik tidak disenaraikan.
- Barisan kejurulatihan mahu menguji 'scratch pair' untuk mencari gandingan terbaik memburu pingat.
- Lee Chong Wei terima kritikan sebagai sebahagian tanggungjawab dan merasmikan Piala Lee Chong Wei untuk mencungkil bakat akar umbi.
Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Lee Chong Wei berkata, keputusan itu dicapai hasil perbincangan beliau bersama barisan kejurulatihan dan kedua-dua pemain berkenaan semalam.
Bagaimanapun, bagi Sukan Asia Aichi-Nagoya yang berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober ini, Aaron akan digandingkan bersama Tee Kai Wun, manakala Wooi Yik tidak disenaraikan dalam skuad negara ke temasya berkenaan.
Datuk Seri Lee Chong Wei berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan cadangan barisan kejurulatihan yang mahu menguji gandingan baharu atau ‘scratch pair’ bagi mendapatkan kombinasi terbaik untuk memburu pingat di Sukan Asia.
“Masa itu jurulatih cakap mahu buat ‘scratch pair’, mahu cuba tengok apa gandingan terbaik. Itu nama yang diberikan kepada saya, jadi kita hantar sahaja.
“Kita kena pilih kondisi terbaik dan pemain terbaik untuk pergi ke Sukan Asia kerana saya sudah cakap temasya ini empat tahun sekali,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Kejohanan Badminton Piala Lee Chong Wei di Stadium Juara, Bukit Kiara, di sini, hari ini.
Beliau berkata, perkara itu turut dibincangkan bersama Pengarah Kejurulatihan Beregu Lelaki BAM, Rexy Mainaky, dengan keputusan Aaron dan Wooi Yik akan kembali bergandingan selepas Sukan Asia sehingga LA 2028.
“Saya cakap dengan Rexy Mainaky selepas Sukan Asia, mereka (Aaron-Wooi Yik) akan bergandingan semula sehingga (sukan Olimpik LA) 2028.
“Tapi jangan separuh jalan sahaja. Jika ada masalah, kita tidak boleh tukar-tukar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengakui tanggungjawab sebagai Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM bukan mudah, terutama apabila berdepan kritikan dan persoalan mengenai kewibawaannya dalam persatuan.
Beliau berkata, segala kritikan yang diterima termasuk di media sosial adalah sebahagian daripada tanggungjawab yang perlu dihadapinya dalam membuat keputusan demi kepentingan badminton negara.
Legenda badminton negara itu menegaskan, setiap keputusan yang dibuat adalah demi kepentingan negara dan BAM, bukannya berdasarkan kepentingan peribadi.
Kejohanan Badminton Piala Lee Chong Wei yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara, bermula hari ini dengan menghimpunkan pemain dalam pelbagai kategori, khususnya sebagai platform mencungkil bakat baharu di peringkat akar umbi.