fb fb fb fb fb

43 PATI ditahan dalam serbuan di restoran, pusat urut di Seremban

Foto FB Jabatan Imigresen

SEREMBAN, 12 Januari- Seramai 43 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan menerusi serbuan yang dilakukan semalam di restoran dan pusat urut sekitar daerah Seremban.

Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Sembilan (JIMNS), Kennith Tan Ai Kiang berkata kesemua yang ditahan berumur lingkungan 17 hingga 47 tahun terdiri daripada 34 lelaki serta tujuh wanita warga Myanmar dan dua wanita Thailand.

Menerusi Serbuan Op Selera dan Op Gegar yang dilakukan bermula pukul 9.00 pagi itu, pihaknya telah memeriksa sejumlah 65 orang.

Katanya, semasa operasi di salah sebuah lokasi serbuan, seorang pegawai wanita telah mengalami kecederaan ringan setelah dirempuh seorang lelaki warga asing yang cuba melarikan diri.

"Bagaimanapun, pasukan JIMNS berjaya menangkap lelaki berkenaan dalam kawasan semak kira-kira 100 meter dari tempat kejadian.

"Mereka yang ditahan kemudiannya dihantar dan ditahan di Depot Imigresen Lenggeng untuk tindakan lanjut", katanya dalam kenyataan.

Lima borang Saman Kepada Saksi untuk hadir ke pejabat turut dikeluarkan kepada individu dalam operasi tersebut bagi membantu siasatan.

ROSLINA BINTI DIN