fb fb fb fb fb

4 sungai di Terengganu rekod paras bahaya setakat 3 petang

Banjir mula melanda negeri ini selepas beberapa kawasan dinaiki air susulan hujan lebat berterusan sejak semalam/FOTO BERNAMA

KUALA TERENGGANU, 24 Disember - Hujan yang berterusan melanda Terengganu sejak semalam menyebabkan paras air di kebanyakan sungai utama di negeri itu menunjukkan trend peningkatan.

Setakat 3 petang tadi, empat sungai merekodkan bacaan melepasi paras bahaya, lima sungai paras amaran dan enam sungai lagi paras waspada.

Berdasarkan laman web rasmi Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, tiga sungai yang mencatatkan bacaan melebihi paras bahaya adalah dua di daerah Setiu, serta satu masing-masing di Dungun dan Hulu Terengganu.

Dua sungai paras bahaya membabitkan daerah Setiu adalah Sungai Nerus di Kampung Langkap, yang merekodkan bacaan 21.80 meter (m) dan Sungai Chalok di Jambatan Chalok dengan bacaan 8.74 m.

Turut mencatatkan bacaan melepasi paras bahaya di Hulu Terengganu adalah Sungai Telemong di Kuala Ping dengan bacaan 20.24 meter dan Sungai Dungun di Jambatan Jerangau dengan bacaan 13.26 m.

Sementara itu, lima sungai yang melepasi paras amaran membabitkan dua sungai di Setiu iaitu Sungai Nerus di Kampung Bukit (12.46 m) dan Sungai Setiu di Kampung Besut (17.22 m), satu sungai di Marang Jambatan Pengkalan Berangan (2.45 m) dan dua sungai di daerah Kemaman iaitu Sungai Tebak di Jambatan Tebak (18.46 m) dan Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik dengan bacaan 2.04 m.

Enam lagi sungai yang merekodkan bacaan melepasi paras waspada adalah dua Sungai Besut di Jambatan Keruak (33.71 m) dan Kampung La (20.61 m), satu Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri (8.24 m), dua sungai di Hulu Berang iaitu Sungai Berang di Kampung Menrong dengan bacaan 23.68 m dan Sungai Tersat di Kampung Sekayu dengan bacaan 19.54 m.

ARTIKEL BERKAITAN

GRACE AISYAH KEDAYAN