KUCHING, 9 November- Sebanyak empat Rang Undang-Undang, RUU kerajaan negeri akan dibentangkan pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri, DUN Sarawak Ke-19 yang akan berlangsung selama lapan hari, bermula Isnin ini.
Speaker DUN, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar memaklumkan kali ini, RUU Perbekalan (2025) 2024 akan dibentangkan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru pada hari pertama persidangan dan bacaan kali ketiga akan dibuat pada hari terakhir mesyuarat.
Manakala, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Douglas Uggah Embas merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru Kedua pula akan membentangkan RUU Perbekalan Tambahan (2024) 2024 pada hari pertama mesyuarat.
Dalam pada itu katanya Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi juga dijadualkan akan membentangkan RUU Pengagihan Gas (Pindaan), 2024.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua, Datuk Awang Tengah Ali Hasan juga akan membentangkan RUU baharu iaitu RUU Sumber Asli dan Alam Sekitar ,2024.
Beliau memberitahu demikian dalam sidang media selepas Pra Mesyuarat Majlis bersempena mesyuarat kedua penggal ketiga DUN Sarawak Ke-19 di Kuching hari ini.
Tambahnya lagi, pihak DUN telah menerima satu Usul daripada Menteri bawah Peraturan Mesyuarat 23(1)(a) bertujuan untuk meminda peraturan-peraturan mesyuarat Dewan Undangan Negeri Sarawak yang akan diusulkan oleh Menteri Pelancongan , Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah pada hari kedua mesyuarat.
Katanya, usul tersebut adalah untuk merungkai definisi media sosial dalam peraturan-peraturan mesyuarat.
Sesi Soal Jawab akan diadakan selama empat hari, bermula Selasa, sehingga Jumaat depan manakala Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (2025) dijadualkan berlangsung pada hari terakhir mesyuarat